Tuesday, December 23, 2008

Wajib Berjuang Bersama PAS

TUGASAN SUBJEK AQIDAH ISLAMIYYAH
Buat ulasan setakat mana syarienya (wajibnya) kita memperjuangkan PAS ini berpandukan kepada Tauhid Uluhiyyah.

ISI KANDUNGAN
PENGENALAN
DEFINISI TAUHID
DEFINISI TAUHID ULUHIYYAH
PENGENALAN PAS
TUJUAN PENUBUHAN PAS
DALIL-DALIL WAJIBNYA MEMPERJUANGKAN ISLAM
DALIL-DALIL WAJIBNYA MEMPERJUANGKAN PAS DALAM KONTEKS MALAYSIA
PENUTUP DAN KESIMPULAN
RUJUKAN

PENGENALAN
Kertas kerja ini akan membahaskan dalil-dalil untuk menunjukkan wajibnya memperjuangkan PAS berpandukan tauhid kepada Allah SWT. Dalam penulisan ini saya cuba membawa dalil-dalil wajibnya berjuang menegakkan agama Islam. Seterusnya, saya akan mendatangkan pula dalil-dalil wajibnya memperjuangkan PAS berpandukan dalil wajibnya memperjuangkan Islam. Di akhir penulisan, saya cuba membuat kesimpulan ringkas tentang tajuk ini.

DEFINISI TAUHID
Tauhid merupakan satu istilah merujuk kepada keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada sekutu baginya.
Dalilnya dalam surah al-Ikhlas ayat 1-5:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ - اللَّهُ الصَّمَدُ - لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ - وَلَمْ يَكُنْ لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ
Maksudnya :
1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.
3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

DEFINISI TAUHID ULUHIYYAH
Tauhid uluhiyyah atau dipanggil juga tauhid ibadah, iaitu seseorang yang mengaku beriman tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar melainkan Allah jua, Allah sahaja yang berhak disembah, dikasihi dan ditaati serta ditakuti dengan sebenar-benarnya [1]. KepadaNya tempat bertawakkal, tempat menaruh harapan, tempat kita berdoa dan seterusnya Allah SWT befirman:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِين
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Fatihah : 5)

PENGENALAN PAS
Parti Islam SeMalaysia ataupun singkatannya PAS telah ditubuhkan melalui proses Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di Pulau Pinang Register of Societies No.34 dlm. 26/25 Ast. Registrar of Societies/Penang 880, Pejabat Agong PAS bil. 9 (61) dlm. P 3/55 perkaitan bil.(2) P/32/35 Pejabat Agong PAS 958 Kepala Batas Seberang Prai, hasil daripada perjumpaan dan persidangan alim ulama pada 24Hb November 1951 di Butterworth [2].

TUJUAN PENUBUHAN PAS

Saya merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS dalam Muktamar kali 54. Ucapannya seperti berikut: ”Saya juga ingin mengajak semua para hadirin, untuk mengimbas kembali dan benar-benar memahami akan tujuan PAS diwujudkan lebih dari 57 tahun yang lalu. Berdasarkan kepada Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Bab Ketiga, Fasal 5, merumuskan bahawa tujuan PAS ialah :

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya menuju keredhaaan Allah.

(2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan
Negara

Berasaskan kepada tujuan penubuhan dan usaha-usaha yang dilaksana oleh
PAS, maka kita semua perlu memahami bahawa PAS bukan sahaja berperanan menjadi sebuah parti siyasah, tetapi juga sebuah organisasi dakwah dan tarbiyah atau sebuah gerakan yang turut menjadi mata rantai gerakan Islam di seluruh dunia. Segala bentuk peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh PAS semestinya bersesuaian dengan sifatnya sebagai sebuah gerakan Islam itu sendiri.

Sesungguhnya segala perancangan dan tindakan kita adalah untuk menyampaikan mesej Islam sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada Rasulullah s.a.w. dan kita yang melangsungkan kewajipannya:

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yangberhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (KitabkitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". [6]

DALIL-DALIL WAJIBNYA MEMPERJUANGKAN ISLAM
Merujuk kepada Firman Allah SWT di dalam al-Quran dan juga Hadith Rasulullah SAW, jelas menunjukkan betapa wajibnya kita berada di dalam saff-saff perjuangan menegakkan ugama Islam.

Setiap individu muslim tidak boleh melepaskan dirinya daripada memperjuangkan ISLAM di mana mereka berada. Kewajipan ini ialah FARDHU AIN. Ini bermakna sesiapa yang meninggalkan tugas ini hukumnya adalah berdosa.

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan aqidah dan akhlaq Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini [3].

Antara dalil-dalil yang menguatkan bahawa memperjuangkan Islam adalah wajib, dilihat dari beberapa sudut :


PERTAMA : WAJIB DARI SUDUT PRINSIP (MABDA’)
Beramal ataupun bekerja untuk menegakkan seluruh ajaran Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia didahului oleh para Nabi dan para Rasul.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran ia hendaklah mengubahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu (mengubah dengan tangannya/kuasanya), maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (yakni tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sekadar besar biji sawi.
(Hadith Riwayat Imam Al-Tirmizi)

KEDUA : WAJIB DARI SUDUT HUKUM
Berjuang menegakkan Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam [3].

Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk dan mengabdikan diri kepada Allah di dalam soal keyakinan, akhlaq dan sistem hidup keseluruhannya berdasarkan dalil dari Al-Qur’an yang menyebut :

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِى أَنفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) mereka belum lagi beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusannya yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.
(Surah An-Nisa’ : Ayat 65)


DALIL-DALIL WAJIBNYA MEMPERJUANGKAN PAS
DALIL PERTAMA : MEMPUNYAI CIRI-CIRI HIZBULLAH
PAS kini berusaha sedaya upaya untuk menepati maksud al-Quran, surah al-Maidah ayat 51-54 iaitu janji Allah SWT mewujudkan suatu kaum (kumpulan) yang mempunyai ciri-ciri Hizbullah yang pasti meraih kejayaan [4].

PAS berusaha untuk menepati maksud Hizbullah yang terkandung dalam surah al-Maidah ayat 51-56. Antara ciri-ciri Hizbullah yang dinyatakan oleh Allah SWT ialah :
1. Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah.
2. Bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang mu’min.
3. Bersikap keras terhadap orang-orang kafir.
4. Yang berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela.
5. Menjadikan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat serta mereka tunduk kepada Allah SWT.
Antara matlamat Hizbullah ialah :
Matlamat pokok kepada Hizbullah itu ialah melaksanakan segala yang diwajibkan oleh Allah SWt, kerana matlamat seorang muslim itu tidak harus terkeluar dari sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah, dan haramlah mengubah atau memindanya. Secara umumnya dalam konteks Harakah Islamiyyah, matlamat Hizbullah itu terbahagi kepada tiga perkara [7]:
1. Membentuk Syakhsiyyah Islamiyyah (Peribadi Islam).
2. Membentuk Jama’ah Hizbullah (Parti Allah)
3. Menegakkan Daulah Islamiyyah (Khilafah Islamiyyah) –Negara Islam.

DALIL KEDUA : DASAR PAS IALAH ISLAM
Merujuk kepada perlembagaan PAS, dasar PAS ialah ISLAM [8]. Islam merupakan teras utama perjuangan PAS. Allah SWT telah memilih ISLAM sebagai cara hidup merangkumi seluruh aspek kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud ”.. Pada Hari ini Aku sempurnakan untuk kamu dinmu, dan aku cukupkan kepadamu nikmat-ku dan aku redai islam dinmu” [9]
DALIL KETIGA : SUMBER
Sumber rujukan PAS ialah AL-quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Setiap ahli gerakan ISLAM mesti memahami bahawa kewajipan beriman kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah 100 peratus. Dua sumber ini merupakan sumber tertinggi kepada umat Islam. PAS menjadikan dua sumber ini sebagai rujukan dalam perjuanganya.

Ini jelas termaktub dalam perlembagaan PAS Fasal 7 : Hukum, Kekuasaan dan ’Majlis Syura Ulama’ dalam perkara pertama yang menyebut :
(1) Adapun Hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan [8].

DALIL KEEMPAT : DAKWAH YANG LENGKAP
Menyampai dakwah Islam kepada masyarakat merupakan kewajipan individu muslim khususnya kepada non muslim. PAS sebagai parti politik dan juga gerakan dakwah telah menjalankan kedua-dua kewajipan ini. Perlaksanaan ISLAM yang lengkap merupakan dakwah yang sentiasa diutamakan oleh PAS.

Jika dibuat perbandingan dengan jamaah-jamaah yang lain seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Tabligh, Hizbur Tahrir dan yang lain-lain, PAS merupakan satu wadah dakwah yang lengkap. Jemaah yang disebutkan sebelum ini tidak memenuhi syarat dakwah yang lengkap kerana sebahagian lain hanya menekankan aspek-aspek tertentu sahaja.

Bagi menguatkan hujjah, kita lihat kenyataan Timbalan Presiden PAS dalam ucapan beliau : Kemunculan PAS di tengah-tengah masyarakat Malaysia bersama dengan beberapa kumpulan Islam yang lain tidak akan mengubah statusnya sebagai sebuah Jama’ah Harakah Islamiyyah utama berdasarkan ciri-ciri berikut [5]:-
(i) PAS adalah sebuah Jama’ah Islam yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan tajdid sepenuhnya;

(ii) PAS adalah Jama’ah Islam yang mendukung dan memelihara kesyumulan Agama Islam dan kesejagatannya;

(iii) PAS adalah Jama’ah Islam yang memelihara tradisi ‘ilmiyyah dan ‘aqliyyah;

(iv) PAS adalah Jama’ah Islam yang berada di bawah Kepemimpinan ‘Ulama’;

(v) PAS adalah Jama’ah Islam yang realistik dan praktikal;

(vi) PAS adalah Jama’ah Islam yang berakarumbikan rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat;

(vii) PAS adalah Jama’ah Islam yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membina sebuah ummah;

(viii) PAS adalah Jama’ah Islam yang menakankan ciri-ciri Hizbu’Llah;

(ix) PAS adalah Jama’ah Islam bersifat tersendiri, bebas dan tidak dikongkong oleh Kerajaan;

(x) PAS adalah Jama’ah Islam yang bersifat ‘Alamiyyah.

Jelas, kewajipan memperjuangkan PAS lebih utama daripada berjuang dalam jemaah yang lain.


DALIL KELIMA : WAJIB DARI SUDUT TUNTUTAN (DHARURAH)
PAS merupakan wadah memperjuangkan Islam di Malaysia. Berbanding dengan UMNO yang menjadikannya sebagai wadah Bangsa Melayu. Perjuangan menegakkan Islam secara syumul merupakan kewajipan. Di Malaysia, gerakan parti politik yang memperjuangkan Islam secara syumul hanyalah PAS.

Berjuang bersama PAS menjadi tuntutan kerana Islam belum diamalkan secara sempurna di Malaysia. Ini jelas daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin negara seperti Tunku Abdul Rahman yang menyatakan Malaysia bukan Negara Islam, tetapi negara sekular.


DALIL KEENAM : ISLAM BELUM DIAMALKAN SECARA SYUMUL
Dalil keenam ini bersangkutan dengan dalil kelima sebelum ini. Malaysia terdiri daripada 60% masyarakat Islam pribumi. Sebahagian yang lain merupakan penganut-penganut ajaran agama seperti Buddha, Kristian, Sikh, Hindu dan lain-lain. Walaupun Islam merupakan majoriti, namun perlaksanaan Islam secara syamil tidak dapat dilaksanakan.

Di dalam perlembagaan hanya menyebut bahawa Islam adalah sebagai agama Rasmi sahaja. Maksudnya Islam hanya memainkan peranan di beberapa sudut sahaja. Tidak mencakupi segenap aspek kehidupan bernegara.Setiap umat Islam wajib menegakkan Islam. Untuk menegakkan Islam mestilah dalam organisasi yang tersusun. Mengikut hukum feqh:

”Sesuatu yang wajib tidak sempurna dengan ia, maka ia juga menjadi wajib”.

Ini bermakna, menjadi kewajipan untuk berjuang di dalam PAS dalam mencapai matlamat Daulah Islamiyyah.

DALIL KETUJUH : PAS DIPIMPIN OLEH ULAMA
PAS dipimpin oleh para ulama’ yang mukhlis. Antara tokoh ulama yang disegani di dalam PAS ialah Tuan Guru Yusof Rawa, Allahyarham Ustaz Fadhil Nor, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Hj Nik Mat, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Dr. Haron Din, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ismail Kamus dan ramai lagi ulama yang tidak dapat disebut di sini.

Ulama merupakan pewaris nabi. Ulamalah golongan yang paling memahami apa yang disampaikan oleh Nabi SAW. PAS meletakkan golongan ulama sebagai pimpinan dengan mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA’. Syura Ulama’ ini ditugaskan untuk memastikan dasar PAS tidak lari daripada orbit ISLAM.







PENUTUP DAN KESIMPULAN
Melalui perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa berjuang bersama PAS ialah wajib. Ini menepati arahan-arahan Allah SWT di dalam al-Quran dan juga panduan daripada Rasulullah SAW.

PAS bukan sekadar parti politik, tetapi parti yang melengkapi dakwah di Malaysia khususnya. Setiap inidividu muslim di Malaysia wajib memilih PAS untuk mendaulatkan ISLAM. Sebagai mana konsep FEQH ”Ma la Yatimul Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib’.

RUJUKAN
[1] Nota Pengajian Diploma Kepimpinan Islam, Aqidah Islamiyyah
[2] Hj Mohd Amin Yaakub (2001), Sejarah Pemerintahan Pas Kelantan, Kota Bharu: Pusat Kajian Strategik.
[3] Fathi Yakan (1996), Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
[4] Nasharudin Mat Isa (2001), 50 tahun mempelopori perubahan, menyingkap kembali perjuangan pas 50 tahun, Selangor : Penerbitan Ahnaf.
[5] Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke 49 Oleh YB Ustaz Nasharudin Mat Isa,Timbalan Presiden PAS 13 Ogos 2008
[6] Ucapan Dasar Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Muktamar Tahunan PAS ke – 54 2008.

[7] Hj Abdul Hadi Awang (2003), Islam : Fikrah, Harakah & Daulah : Dewan Pustaka Fajar.
[8] Perlembagaan PAS pindaan 2001.
[9] Dr. Haron Din (2000), Manusia dan Islam :Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments: