Thursday, August 23, 2007

Merdeka 50

Selamat menyambut Ulangtahun Kemerdekaan kali yang ke-50 pada 31 Ogos 2007. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT di atas segala limpahan berkat dan rezeki yang diberikan kepada kita sehingga hari ini.
Hari ini, aku terbaca satu artikel berita dalam akhbar utusan bertajuk “Undang-undang Syariah Terbaik”-Gani. Tajuk berita ini menarik perhatian aku sehingga membacanya dari awal sehingga ayat yang terakhir.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani menyebut “Undang-undang Syariah adalah terbaik kerana ia menekannkan kepada keadilan dan pembahagian yang saksama”. Menurutnya lagi, mengikut undang-undang Syariah, memberi keadilan dan hak saksama kepada yang berhak merupakan prinsip utama mengikut ajaran al-Quran.
Sementara itu Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim turut mencadangkan supaya usaha dilakukan untuk memartabatkan undang-undang Islam dalam perundangan negara dan perundangan antarabangsa.
Apa yang menariknya ia disebut oleh pakar undang-undang Negara sendiri, bukan daripada gerakan Islam yang selama ini sentiasa memperjuangkan Negara Islam. Pada pandangan aku, apa yang disebut dan dicadangkan oleh mereka ini ialah hasil daripada kajian dan penelitian mereka terhadap sistem perundangan sedia ada yang masih tidak adil dalam beberapa hal. Ini tidak dapat dinafikan kerana undang-undang sekarang ialah ciptaan manusia. Banyak kelemahannya berbanding undang-undang Islam yang penciptanya ialah Tuhan Sekelian Alam.
Apa yang diiutarakan oleh mereka berdua ini juga sebenarnya sudah lama diperjuangkan oleh Ulama di Tanah Melayu sebelum ini. Kemerdekaan yang kita kecapi dan nikmat Islam yang kita amalkan hari nie adalah hasil titik peluh dan titik darah para ulama kita. Sila baca buku “Ulama’ Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan” hasil tulisan Ust Riduan Mohd Nor. Padat dengan informasi sejarah yang pastinya kalian tidak dapat dalam kitab-kitab sejarah Malaysia hari ini.
Sambutan kemerdekaan kali 50 tahun ini, merupakan tahun ‘keramat’ bagi Malaysia kerana angka 50. Jika seorang manusia, umur 50 menunjukkan proses kematangan dari sudut jasmani dan rohani sudah hampir sempurna. Semoga angka 50 ini memberi satu semangat baru kepada pencinta-pencinta undang-undang Islam hari ini, kerana Islam pastinya akan tetap di atas daripada yang lainnya.



Berita Penuh Di bawah
Undang-undang syariah terbaik – Gani
Oleh NORILA DAUD
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 yang berasaskan prinsip Common Law Inggeris, lazim digunakan dalam perbicaraan apabila keadaan memerlukan.
Beliau berkata, kedua-dua seksyen itu memberi peruntukan untuk mengguna pakai norma-norma atau amalan biasa serta prinsip-prinsip lain yang menekankan kepada keadilan dan pembahagian yang saksama mengikut Perlembagaan negara.
‘‘Undang-undang tersebut telah diguna pakai oleh para pengamal undang-undang sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara.
Menurutnya, penggunaan Common Law hanya menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.
Beliau turut mencadangkan supaya usaha dilakukan untuk memartabatkan undang-undang Islam dalam perundangan negara dan perundangan antarabangsa.
Abdul Gani bagaimanapun berkata, undang-undang Syariah adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.
Katanya, sudah sampai masanya untuk semua pihak memikirkan lebih daripada Common Law untuk prinsip-prinsip keadilan dan pembahagian hak saksama bagi mengisi bahagian-bahagian yang perlu dimantapkan dalam sistem perundangan negara.
‘‘Sudah tiba juga masanya untuk kita mendapatkan prinsip-prinsip tersebut (keadilan) dalam kebudayaan, cara hidup dan agama termasuk agama Islam dan juga undang-undang adat seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak,’’ jelasnya.
Sementara itu, kata beliau, undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini setelah digubal dan diluluskan oleh Parlimen.
Menurutnya, mengikut undang-undang Syariah, memberi keadilan dan hak saksama kepada yang berhak merupakan prinsip utama mengikut ajaran al-Quran.
Utusan Malaysia 23/8/07

1 comment:

AMIN AL-KALANTANI said...

InsyaAllah teruskan perjuangan kita semua. Yakinlah dengan janji-janji Allah SWT bahawa Islam akan bangkit semula. Takbir!!