Wednesday, July 25, 2007

Manisnya..... Sholat


Assalamualaikum...

Sahabat dan sahabiyah,
Hari ini ana menyeru diri ana dan sahabat dan sahabiyah semua mengambil masa untuk sama-sama kembali bermuhasabah berkaitan dengan asas rukun Islam yang lima iaitu yang rukun Islam ke-2, menunaikan sholat lima kali sehari semalam.

Sahabat dan sahabiyah,
Ana tidak hendak berbicara soal rukun-rukun sholat kerana semua sudah sedia maklum dan mempelajarinya. Ana juga tidak berniat untuk mengajar kerana ana bukan ahlinya. Namun, salah satu tugas pimpinan ialah memperingati dirinya sendiri dan juga memperingati ahli di bawah pimpinannya agar sentiasa meningkatkan mutu dan prestasi sholat kita dari semasa-semasa.

Sahabat dan sahabiyah,
Jika sebelum ini kita suka sholat bersendirian, cubalah memperbaharuinya dengan berjamaah. Sholat berjamaah merupakan asas dan roh kepada kehidupan berjamaah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman:

“Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjid Allah, ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (at-Taubah: 18)


Jika sebelum ini suka melengah-lengahkan sholat dengan alasan banyak kerja, letih, ‘tunggu dulu’ dan sebagainya maka hendaklah sholat di awal waktu. Ini kerana sholat di awal waktu menunjukkan kita komitmen terhadap amanah dan tanggungjawab kita kepada Allah SWT al-Khalik. Jika sebelum ini kita mengambil wudhuk dengan acuh tak acuh, maka selidik semula atas kekurangan wudhu’ yang kita ambil. Ini kerana wudhu’ yang sempurna akan mendatangkan kesempurnaan sholat.

Sahabat dan sahabiyah,
Jika sebelum ini kita seringkali menerawang dalam sholat, maka pertingkatlah fokus kita kepada Allah SWT. Ini kerana dengan mengingati Allah SWT jiwa akan bertambah khusyu’. Khusyu’ dalam sholat merupakan agenda besar yang dipesankan oleh Nabi SAW. Khusyu’ tidak mudah diperolehi sepertimana kita ingin membeli barang-barang di kedai ataupun khayal sebagaimana kita mendengar lagu-lagu yang kita minati. Khusyu’ adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hambanya yang benar-benar ingin menikmati ‘manis’nya khusyu’ itu.


Allah SWT berfirman:

“Dan dirikanlah sembahyang itu kerana mengingatiku.” (Taahaa: 14)

Mematuhi perintah itu adalah wajib dan kelalaian dalam sholat bertentangan dengan maksud mengingati Allah. Bagaimana seseorang itu dikatakan mendirikan sholat untuk mengingati Tuhan, sedangkan ia lalai dan lena dalam sholatnya.


Allah berfirman lagi:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.”
(al-A’raaf: 205)

“Sebenarnya telah menanglah orang-orang Mu’minin yang berkhusyu’ dalam sholat mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah telah mengkategorikan khusyu’ dalam sholat itu sebagai tingkat yang paling tinggi sekali dari tingkat-tingkat kejayaan. Ini adalah sebagai suatu peringatan kepada orang-orang yang lena dan lalai dalam sembahyangnya, bahawa mereka itu adalah berada paling bawah sekali dari tingkat-tingkat kemenangan dari kejayaan yang dimaksudkan dalam ertikata “al-Falah”.


Sahabat dan sahabiyah,
Carilah jalan bagaimana kita boleh mempertingkatkan mutu solah kita hari ke setiap hari agar kita mencapai seorang muslim hakiki. Banyak masa kita habiskan untuk bekerja setiap hari, ambillah masa untuk mempertingkatkan mutu solah yang akhirnya kita antara yang menikmati ‘manis’nya sholat’......sebelum ajal tiba.

No comments: