Friday, May 02, 2008

Agenda Melayu Baru

melayu tidak akan hilang di dunia

Entry saya hari ini berkaitan dengan Agenda Melayu Baru. Hari ini juga merupakan hari pertama konvosyen NGO melayu yang memperbincangkan kuasa politik orang Melayu hari ini akibat tsunami pru12.

Saya akan cuba mengikuti perkembangan seminar ini dari masa ke masa. Yang penting kita nak lihat apakah resolusi daripada perbincangan itu.

Melayu Baru. Melayu yang berfikiran terbuka. Melayu yang sedar bahawa bumi bernama Malaysia ini bukan milik Melayu selamanya jika orang Melayu masih sempit pemikirannya.

Orang Melayu sudah dalam keadaan selesa selepas merdeka. Orang Melayu sudah tidak mahu bersaing dengan bangsa lain. Orang Melayu tidak mampu mengatasi bangsa lain dalam banyak aspek.

Semoga pertemuan NGO melayu ini bakal merungkaikan permasalah melayu baru ini.

Friday, April 18, 2008

Blog Wajah Baru

Saya cuba mengkaji bagaimana nak menjadikan blog saya lebih baik.

Friday, April 04, 2008

Malaysia Tanah AirKU

Alhamdulillah hari ini aku masih bernyawa lagi. Masih ada peluang untuk beramal ibadah dan bertaubat.

Malaysia Tanah Airku.

Semua negara di dunia hakikatnya berkongsi satu tempat yang dinamakan bumi.

Bumi yang telah kita bangsa manusia duduki.

Bumi yang kita sayangi.

Bumi yang perlu dipertahankan daripada KEJAHATAN MANUSIA.

Bumi yang perlu ditegakkan ISLAM atasnya!

Salah satunya MALAYSIA!

Tuesday, April 01, 2008

PRU 12 : Di mana kedudukan ISLAM?

PRU 12 telah beberapa minggu berlangsung. Ada yang gembira dan ada yang sedih. Semalam saya berkesempatan hadir ke program Himpunan Rakyat di Stadium Malawati anjuran PAS Selangor.

Sebelum ini, jika program PAS orang China ataupun India jarang kelihatan. Khususnya mereka yang bukan Islam. Kempen PAS FOR ALL nampaknya memberi kesan yang ketara dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS.

Tajuk entry saya kali ini ialah "PRU 12 : Di mana kedudukan Islam?" Saya bukanlah penganalisis yang begitu cerdik yang boleh memberi pandangan kritikan yang bagus. Namun saya rasa tidak salah untuk menyuarakan tajuk ini untuk dibahaskan.

Selepas episod PRU 12, sejauh manakah masyarakat orang Melayu Islam memahami Islam yang ingin ditampilkan oleh PAS mahupun UMNO. Semenjak 50 Tahun, Orang Melayu Islam di Malaysia telah dipaparkan bahawa ulama Islam tidak mampu mengurus negara. Islam tidak mampu mentadbir negara yang mempunyai masyarakat majmuk (Melayu, China, India dan lain-lain)

PAS sudah sekian lama berhasrat menubuhkan NEGARA ISLAM. Setiap kali dalam ceramah, penceramah PAS sentiasa membangkitkan soal Negara Islam. Tetapi pada tahun PRU 12 kali ini, PAS telah membawa misi baru iaitu NEGARA KEBAJIKAN.

UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah telah memperkenalkan ISLAM HADHARI.
Ironinya, setelah PM kita Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari (PM sebelum itu Mahathir menggesa penggunaan Islam diharamkan dalam persatuan dan sebagainya), orang Melayu Islam, China dan India masih samar-samar dan tidak dapat menghayatinya secara menyeluruh.

Siapakah yang lebih ikhlas dalam penghayatan Islam? UMNO atau PAS? Persoalan ini wajib dijawab dengan seikhlas mungkin. Jika UMNO lebih ikhlas apa buktinya? Jika PAS lebih ikhlas apa buktinya?

UMNO dan PAS sepatutnya bukan menganalis kejayaan dalam PRU 12 semata, bahkan sepatutnya memberi penekanan di mana kedudukan Islam dalam pandangan masyarakat Malaysia.

Orang China dan India sepatutnya diberi ruang yang lebih luas untuk memahami ISLAM. Apakah ciri keadilan ISLAM dan sebagainya. Tidak dinafikan sebelum ini sudah banyak seminar diadakan melibatkan orang China dan India, namun di mana laporan analisisnya.

Islam adalah solusi terhadap masalah di Malaysia sekarang. Bukan sekular bukan yang lain. ISLAM ada penyelesaiannya. ISLAM tidak mengutamakan bangsa, ISLAM agama sarwajagat.

ISLAM telah membuktikan ketamadunannya tersendiri. Sejarah telah mencatatkan kemenangan demi kemenangan jika suatu kelompok menghayati Islam sedalam-dalamnya. Jika ingin menjadikan ISLAM sebagai solusi, kembalilah kita bersama kepada al-Quran dan as-Sunnah.

PRU 12 telah berlangsung. Peluang terbuka luas untuk para pendakwah mendekati non muslim dari China dan India. Mereka perlu diberi penjelasan yang secukupnya untuk memahami apa itu ISLAM.

Selain itu, umat Melayu Islam juga wajib diberi pemahamam yang jelas terhadap ISLAM. ISLAM bukan bermakna atas nama sahaja, bahkan mesti dihayati dalam kehidupan seharian bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga mentadbir negara dan dunia.

Selepas PRU 12 PAS mahupun UMNO mestilah muhasabah diri masing-masing. Selepas PRU 12 di manakah kedudukan ISLAM?

Rakyat Islam di Malaysia sepatutnya tahu siapakah yang lebih ikhlas dalam penghayatan ISLAM. PAS ataupun UMNO?

*Secebis pendapat daripada hamba yang dhaif*

Monday, March 31, 2008

Gunakan Blog Tingkat Kefahaman Islam

Jelas peranan blog tidak boleh disangkal lagi. Kita mestilah menggunakan peluang ini untuk memberi kefahaman Islam yang jelas kepada semua pengguna. Masyarakat bukan Islam nampaknya memang berminat mencari maklumat alternatif terhadap Islam, jadi discussion dan penerangan terhadap Islam melalui blog mesti digiatkan lagi!

Cadangan saya kita tubuhkan Persatuan Bloggers Islam (PBI) bagi mengetegahkan isu-isu yang sering menjadi salah faham non-muslim terhadap Islam. Cuma mekanisma dan cara perjalanannya kita mesti fikir bersama-sama.

Wednesday, October 31, 2007

Blog Baru

Para pembaca budiman, saya telah membina blog baru di alamat berikut :

http://amin1982.wordpress.com

Sila lawati blog saya di alamat tersebut. Walaubagaimanapun anda masih boleh meninggalkan pesan pada saya di kotak pesanan.

Friday, October 05, 2007

Ramadhan, Punca Kelesuan Ibadah 10 Malam Terakhir

Syukurku panjat kehadrat Allah SWT kerana sehingga ke saat ini 23 Ramadhan, aku masih lagi mempunyai kekuatan untuk meneruskan jihad 10 Malam terakhir. Sekaligus jihadku untuk melepaskan diri daripada api neraka jahannam. Dengan ketentuan Allah SWT, aku telah diminta untuk menjadi imam solat qiamulaill di surau tempat apartment aku. Kalau sebelum ini agak susah untuk bangun 3 pagi, tapi sekarang alhamdulillah dapat bangun walaupun badan merasa agak letih.

Pagi ini, ada seorang teman meninggalkan satu pesanan kepada saya. Sedih dengan pengurangan jamaah di surau untuk terawikh. Ini kerana dalam bulan ramadhan ini yang menjadi tunjang ubudiyyah ialah berpuasa di siang hari dan berterawikh di malam hari. Di bulan-bulan lain pastinya kita tidak berjumpa dengan ini semua. Bila terawikh telah semakin berkurangan di malam-malam akhir ini, ummah Islam yang mempunyai sifat ukhuwwah terhadap sesama muslim berhak untuk sedih.

Sedih kerana kaum muslimin yang lain sudah mula lesu dalam ibadah. Sudah mula lesu dalam mempertahankan anggota daripada berbuat maksiat. Sudah mula lesu untuk membaca al-Quran. Semuanya sudah lesu untuk membuat segala bentuk ibadah kepada Allah SWT. Dalam kepala semuanya dah terbayang saat gembiranya menyambut Idulfitri.

Tidak salah untuk merasai kegembiraan menyambut Idulfitri, tetapi mesti ada juga perasaan sedih meninggalkan ramadhan. Gembira menyambut Idulfitri bukan semata-mata kerana dapat makan pelbagai juadah semata, tetapi gembira kerana berjaya melalui tarbiyyah ramadhan dengan sepenuh hati. Sedih meninggalkan ramadhan bukan kerana tidak lagi menikmati saat berbuka puasa, tetapi sedih kerana tidak dapat buat yang terbaik untuk ramadhan.

Antara faktor kelesuan ibadah ialah disebabkan ceramah, kuliah dan muhasabah tidak dibenarkan berlangsung di surau-surau dan masjid. Bahkan, bila dibuat kuliah ceramah dan sessi muhasabah surau-surau atau masjid ditutup. Keadaan ini sama seperti mana yang berlaku di suatu zaman yang lampau. Orang munafiq dan musyirikin berkerjasama untuk memadamkan cahaya kebenaran. Orang munafiq yang berkerjasama menyeru orang membuat kejahatan dan bersungguh-sungguh menghalang orang ke jalan kebenaran!

Ya Allah, Engkaulah sebaik-baik Saksi. Saksikanlah aku telah sedaya upaya memberi peringatan kepada ummah Islam dalam lingkunganku sekadar yang termampu. Semoga Ramadhan 1428H menyaksikan suatu perubahan besar kepada ummah Islam seluruh dunia! Ya Allah bantulah kami ke atas orang kafir, musyrik dan munafiqin.

23 Ramadhan 1428H

Ramadhan, Palestin dan Kesatuan Ummah


Kaum muslimin,
Tajuk ini saya pilih untuk ditulis bersempena dengan Ramadhan 1428H tahun ini. Ramadhan berlalu meninggalkan kenangan yang cukup manis buat orang-orang yang beriman di mana sahaja mereka berada. Ramadhan kali ini juga membuatkan hati terasa sebak dan terharu. Saudara kita di Palestin dibantai tanpa belas kasihan oleh Yahudi La’natullah di bulan Ramadhan khususnya di Bandar Gaza.


Kaum muslimin,
Kaum munafiqin yang bersengkongkol dengan Yahudi La’natullah begitu ghairah merancang strategi untuk menghapuskan pejuang-pejuang yang ikhlas menegakkan kalimah Allah SWT di bumi BaitulMaqdis. Namun, segala perancangan dan strategi mereka tetap dalam pengetahuan Allah SWT yang Maha Tahu. Mereka merancang tetapi Allah SWT juga merancang, maka perancangan Allah SWT sebaik-baik Perancang.

Kaum muslimin,
Adakah keras dan malasnya hati kita untuk mendoakan saudara-saudara se-Islam kita di seluruh pelusuk dunia khususnya di Palestin. Nampaknya kita sudah muak dan pasrah dengan keadaan saudara kita di Palestin. Mungkin pada fikiran kita itulah takdir buat mereka. Kita sudah muak dan malas untuk melayan isu-isu berkaitan dengan Palestin yang sering memaparkan isu ummah Islam ditindas oleh ummah Islam sendiri dan Yahudi La’natullah.

Kaum muslimin,
Dengan kesedaran dan kudrat yang kecil ada pada saya ini, saya menyeru anda semua di bulan Ramadhan 1428 yang penuh barakah ini dengan satu seruan. Ayuh, kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan kaum muslimin diseluruh dunia khususnya saudara kita di Palestin! Ya Allah tolonglah Islam dan Muslimin! Ya Allah tolonglah saudara Islam kami di Palestin. Ya Allah perkuatkanlah semangat juang pejuang-pejuang Islam di sana!

Kaum muslimin,
Perjalanan sejarah telah memaparkan kisah-kisah yang penuh tragis dan duka buat pencinta agama Allah SWT. Musuh-musuh Islam nampaknya begitu bersungguh-sungguh ingin menghapuskan Ummah Islam di muka bumi ini. Namun, kita perlu yakin bahawa pertolongan Allah amat dekat! Saya juga meyakini bahawa kita akan dapat merampas semula BaitulMaqdis dan Masjidil Aqsa di bulan Ramadhan dengan syarat kita bersungguh-sungguh mempertahankan Islam di mana-mana sahaja kita berada!

Kaum muslimin,
Yakinlah dengan hanya keimanan yang tulus kepada Allah, kita akan kembali mentadbir dunia yang sebenarnya adalah hak ummah Islam!

Thursday, September 20, 2007

Ramadhan Sudah Menghampiri Fasa ke-2

Ramadhan al-Mubarak sudah menghampiri fasa kedua. Giatkan dan aktifkan diri anda untuk berlumba-lumba mendapatkan kebajikan!

Monday, September 17, 2007

Ramadhan dan Perubahan

"Ya Allah, permudahkanlah laluanku untuk berjumpa denganMu dan menghirup lazatnya dan manisnya keyakinan bertemu denganMu"