Wednesday, March 31, 2010

Tiga Perkara yang susah dapat di akhir zaman

Tiga Perkara yang susah dapat di akhir zaman

Terjemahan hadith :

“Rasulullah SAW bersabda, katanya akan sampai masanya satu waktu, tidak ada yang lebih berharga untuk dimiliki dan lebih mulia dari tiga perkara : wang sedarham (seringgit atau sedikit) yang halal, saudara Islam yang boleh dijadikan tempat menghilangkan rasa keseorangan (hidup tanpa kawan dan saudara-mara tempat mengadu, ketika kita bermasalah untuk mendapatkan jalan keluar yang patut) atau hidup dalam sunnah Rasul SAW dan beramal dengannya.

(Hadith Riwayat Tabrani)

Keterangan hadith

  1. Rasulullah SAW telah mengambarkan akan datang suatu zaman dimana untuk mendapatkan rezeki yang benar-benar halal tanpa subahat cukup sukar untuk dijadikan perbelanjaan harian. Dirham halal merujuk kepada wang pendapatan yang diperolehi digunakan untuk makan, hidup bekeluarga dan membiayai anak-anak kita untuk belajar dan lain-lain keperluan asas. (Rujuk surah al-anfaal ayat 4)
  2. 90% rezeki halal berada dalam kerja jual beli atau berniaga. (Riwayat Imam As Sayuti)
  3. Bangunlah awal pagi untuk mencari rezeki dan hajat kamu kerana bangun awal itu akan mendapat berkat dalam pencariannya dan mudah berjaya. (Riwayat Ibni Adi)
  4. Di zaman ini juga susah untuk mendapatkan kawan sehati dan sejiwa yakni dikala susah pun bersama dan dikala senang pun sama merasa. Biasanya dikala senang rawai kawan keliling pinggang, dikala susah kawan pun lesap.
  5. Hubungan tidak dibina di atas asas persudaraan Islam, tetapi atas dasar materialism iaitu tujuan kebendaan semata-mata. Rumahtangga kini diasaskan di atas dasar materiaisma menyebabkan tidak bertahan sebagaimana rumah labah-labah (Rujuk surah al-ankabut ayat 41).
  6. Di akhir zaman, betapa susahnya kita untuk hidup dalam kerangka sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Hanya setakat teori dipelajari dan disebut-sebut, tetapi malangnya tidak dijadikan amalan seharian dalam segenap aspek kehidupan.

Kesimpulan

  1. Sentiasa teguh dan berjiwa besar untuk mendapatkan yang halal walau sukar dan susah. Perkara yang haram menjijikan jiwa orang-orang yang beriman dan bertakwa.
  2. Islam adalah asas persabahatan, jangan mengutamakan dasar materialisama.
  3. Keutamaan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah SAW walaupun orang lain tidak suka dan membenci.

Rujukan :

KOleksi kupasan kuliah Maghrib , Hadis Akhir Zaman Jilid 1, Haji Abdul Aziz Che Ibrahim

No comments: