Tuesday, August 19, 2008

PRU 12 : Di mana kedudukan ISLAM?


Terkini

Saya menyambung kembali tajuk ini yang disiarkan sebelum ini di dalam blog saya. Tertarik dengan penekanan Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS 54 yang berbunyi ;

“PAS wajib bermuhasabah sejauh mana Islam berperanan dalam mengisi

kemenangan ini. Maka tidak ada apa-apa faedah sekiranya Islam tidak diberi apaapa peluang untuk melaksanakan tugasnya yang adil untuk semua.

Sabda

Rasulullah s.a.w.; Islam itu berada ditempat yang tinggi jangan ada yang mengatasinya”.

Saya juga amat teruja kerana kempen PAS FOR ALL telah menjadi tema ucapan dasar presiden tahun ini. Dan pada masa yang sama di dalam ucapan pemuda menekankan ISLAM FOR ALL dan ISLAM FOR PEACE.

Sesungguhnya muktamar kali -54 ini memberi nafas baru di dalam denyut perjuangan PAS.

Entry saya sebelum ini :

PRU 12 telah beberapa minggu berlangsung. Ada yang gembira dan ada yang sedih. Semalam saya berkesempatan hadir ke program Himpunan Rakyat di Stadium Malawati anjuran PAS Selangor.

Sebelum ini, jika program PAS orang China ataupun India jarang kelihatan. Khususnya mereka yang bukan Islam. Kempen PAS FOR ALL nampaknya memberi kesan yang ketara dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS.

Tajuk entry saya kali ini ialah "PRU 12 : Di mana kedudukan Islam?" Saya bukanlah penganalisis yang begitu cerdik yang boleh memberi pandangan kritikan yang bagus. Namun saya rasa tidak salah untuk menyuarakan tajuk ini untuk dibahaskan.

Selepas episod PRU 12, sejauh manakah masyarakat orang Melayu Islam memahami Islam yang ingin ditampilkan oleh PAS mahupun UMNO. Semenjak 50 Tahun, Orang Melayu Islam di Malaysia telah dipaparkan bahawa ulama Islam tidak mampu mengurus negara. Islam tidak mampu mentadbir negara yang mempunyai masyarakat majmuk (Melayu, China, India dan lain-lain)

PAS sudah sekian lama berhasrat menubuhkan NEGARA ISLAM. Setiap kali dalam ceramah, penceramah PAS sentiasa membangkitkan soal Negara Islam. Tetapi pada tahun PRU 12 kali ini, PAS telah membawa misi baru iaitu NEGARA KEBAJIKAN.

UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah telah memperkenalkan ISLAM HADHARI.

Ironinya, setelah PM kita Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari (PM sebelum itu Mahathir menggesa penggunaan Islam diharamkan dalam persatuan dan sebagainya), orang Melayu Islam, China dan India masih samar-samar dan tidak dapat menghayatinya secara menyeluruh.

Siapakah yang lebih ikhlas dalam penghayatan Islam? UMNO atau PAS? Persoalan ini wajib dijawab dengan seikhlas mungkin. Jika UMNO lebih ikhlas apa buktinya? Jika PAS lebih ikhlas apa buktinya?

UMNO dan PAS sepatutnya bukan menganalis kejayaan dalam PRU 12 semata, bahkan sepatutnya memberi penekanan di mana kedudukan Islam dalam pandangan masyarakat Malaysia.

Orang China dan India sepatutnya diberi ruang yang lebih luas untuk memahami ISLAM. Apakah ciri keadilan ISLAM dan sebagainya. Tidak dinafikan sebelum ini sudah banyak seminar diadakan melibatkan orang China dan India, namun di mana laporan analisisnya.

Islam adalah solusi terhadap masalah di Malaysia sekarang. Bukan sekular bukan yang lain. ISLAM ada penyelesaiannya. ISLAM tidak mengutamakan bangsa, ISLAM agama sarwajagat.

ISLAM telah membuktikan ketamadunannya tersendiri. Sejarah telah mencatatkan kemenangan demi kemenangan jika suatu kelompok menghayati Islam sedalam-dalamnya. Jika ingin menjadikan ISLAM sebagai solusi, kembalilah kita bersama kepada al-Quran dan as-Sunnah.

PRU 12 telah berlangsung. Peluang terbuka luas untuk para pendakwah mendekati non muslim dari China dan India. Mereka perlu diberi penjelasan yang secukupnya untuk memahami apa itu ISLAM.

Selain itu, umat Melayu Islam juga wajib diberi pemahamam yang jelas terhadap ISLAM. ISLAM bukan bermakna atas nama sahaja, bahkan mesti dihayati dalam kehidupan seharian bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga mentadbir negara dan dunia.

Selepas PRU 12 PAS mahupun UMNO mestilah muhasabah diri masing-masing. Selepas PRU 12 di manakah kedudukan ISLAM?

Rakyat Islam di Malaysia sepatutnya tahu siapakah yang lebih ikhlas dalam penghayatan ISLAM. PAS ataupun UMNO?

*Secebis pendapat daripada hamba yang dhaif*

No comments: