Wednesday, July 25, 2007

Manisnya..... Sholat


Assalamualaikum...

Sahabat dan sahabiyah,
Hari ini ana menyeru diri ana dan sahabat dan sahabiyah semua mengambil masa untuk sama-sama kembali bermuhasabah berkaitan dengan asas rukun Islam yang lima iaitu yang rukun Islam ke-2, menunaikan sholat lima kali sehari semalam.

Sahabat dan sahabiyah,
Ana tidak hendak berbicara soal rukun-rukun sholat kerana semua sudah sedia maklum dan mempelajarinya. Ana juga tidak berniat untuk mengajar kerana ana bukan ahlinya. Namun, salah satu tugas pimpinan ialah memperingati dirinya sendiri dan juga memperingati ahli di bawah pimpinannya agar sentiasa meningkatkan mutu dan prestasi sholat kita dari semasa-semasa.

Sahabat dan sahabiyah,
Jika sebelum ini kita suka sholat bersendirian, cubalah memperbaharuinya dengan berjamaah. Sholat berjamaah merupakan asas dan roh kepada kehidupan berjamaah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman:

“Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjid Allah, ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (at-Taubah: 18)


Jika sebelum ini suka melengah-lengahkan sholat dengan alasan banyak kerja, letih, ‘tunggu dulu’ dan sebagainya maka hendaklah sholat di awal waktu. Ini kerana sholat di awal waktu menunjukkan kita komitmen terhadap amanah dan tanggungjawab kita kepada Allah SWT al-Khalik. Jika sebelum ini kita mengambil wudhuk dengan acuh tak acuh, maka selidik semula atas kekurangan wudhu’ yang kita ambil. Ini kerana wudhu’ yang sempurna akan mendatangkan kesempurnaan sholat.

Sahabat dan sahabiyah,
Jika sebelum ini kita seringkali menerawang dalam sholat, maka pertingkatlah fokus kita kepada Allah SWT. Ini kerana dengan mengingati Allah SWT jiwa akan bertambah khusyu’. Khusyu’ dalam sholat merupakan agenda besar yang dipesankan oleh Nabi SAW. Khusyu’ tidak mudah diperolehi sepertimana kita ingin membeli barang-barang di kedai ataupun khayal sebagaimana kita mendengar lagu-lagu yang kita minati. Khusyu’ adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hambanya yang benar-benar ingin menikmati ‘manis’nya khusyu’ itu.


Allah SWT berfirman:

“Dan dirikanlah sembahyang itu kerana mengingatiku.” (Taahaa: 14)

Mematuhi perintah itu adalah wajib dan kelalaian dalam sholat bertentangan dengan maksud mengingati Allah. Bagaimana seseorang itu dikatakan mendirikan sholat untuk mengingati Tuhan, sedangkan ia lalai dan lena dalam sholatnya.


Allah berfirman lagi:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.”
(al-A’raaf: 205)

“Sebenarnya telah menanglah orang-orang Mu’minin yang berkhusyu’ dalam sholat mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah telah mengkategorikan khusyu’ dalam sholat itu sebagai tingkat yang paling tinggi sekali dari tingkat-tingkat kejayaan. Ini adalah sebagai suatu peringatan kepada orang-orang yang lena dan lalai dalam sembahyangnya, bahawa mereka itu adalah berada paling bawah sekali dari tingkat-tingkat kemenangan dari kejayaan yang dimaksudkan dalam ertikata “al-Falah”.


Sahabat dan sahabiyah,
Carilah jalan bagaimana kita boleh mempertingkatkan mutu solah kita hari ke setiap hari agar kita mencapai seorang muslim hakiki. Banyak masa kita habiskan untuk bekerja setiap hari, ambillah masa untuk mempertingkatkan mutu solah yang akhirnya kita antara yang menikmati ‘manis’nya sholat’......sebelum ajal tiba.

Tuesday, July 24, 2007

Kekuatan Tulisan…..Kekuatan Menulis…

Assalamualaikum….
Sahabat dan sahabiyah satu “Cara Hidup”…..Islam. Hari ni hari pertama ana masuk semula ke office setelah pulang dari offshore. Terbaca pasal 8.3 juta Harrypotter terjual di pasaran…Jumlah yang banyak….Terpikir pada fikiran ana hebatnya tulisan….boleh menarik begitu ramai orang untuk membacanya……InsyaALLah cita-cita ana nak menulis yang boleh menghasilkan kekuatan. Doakan ana.

8.3 juta dijual di AS dalam 24 jam
NEW YORK 23 Julai – Siri ketujuh dan terakhir novel karya J.K. Rowling, Harry Potter and the Deathly Hallows, mencatat sejarah apabila sebanyak 8.3 juta naskhah dapat dijual dalam masa 24 jam berada di pasaran di Amerika Syarikat (AS).
Penerbit di AS, Scholastic berkata, mereka mencetak sebanyak 12 juta naskhah memandangkan buku itu dinantikan oleh ramai peminat.
Ia dipasarkan mulai Sabtu lalu di 93 buah negara.
Difahamkan jualan awal naik kira-kira 20 peratus berbanding edisi keenam.
Buku itu ibarat sihir kepada peruncit juga mencatatkan rekod di semua kedai buku di New York dan bandar-bandar lain di AS.
Ketua Pegawai Eksekutif kedai buku Borders cawangan AS, George Jones memberitahu AFP, ia merupakan hari terhebat dalam sejarah kedainya apabila 1.2 juta naskhah berjaya dijual di seluruh dunia pada Sabtu lalu.
Setiap siri Harry Potter menjadi buku paling laris di Amerika Syarikat, Britain dan seluruh dunia.
Menurut kenyataan Scholastic, siri keenam, Harry Potter and the Half Blood Prince, yang dipasarkan pada 16 Julai 2005, dijual sebanyak 6.9 juta naskhah dalam masa 24 jam pertama, daripada keseluruhan 10.8 juta cetakan.
Tiada buku lain, malah enam edisi Harry Potter terdahulu mendapat sambutan hangat dan dijual dengan begitu banyak.
Purata edisi terbaru ini adalah lebih 300,000 naskhah dalam sejam dan lebih 5,000 naskhah dalam seminit.
Ia juga menjana pulangan lebih RM850 juta (lebih AS$250 juta), tiga kali ganda hasil jualan tiket filem Harry Potter and the Order of the Phoenix yang ditayangkan sejak 10 Julai lalu.
– Agensi

Friday, July 13, 2007

Suara dari Pelantar Minyak

Assalamualaikum.....

Semoga sahabat-sahabat semua dalam kerahmatan dan perlindungan Allah SWT. Ana sekarang berada di Platform minyak ABU-A Platform, 320 km daripada Terengganu berhampiran dengan Vietnam. Alhamdulillah, walaupun pelbagai ujian melanda dengan keadaan ombak yang agak tinggi sekitar 1-2 meter, ana dapat bertahan lagi. Maaf sebab tak sempat menghantar maklumat ana pergi offshore kerana pergi tergesa-gesa. InsyaAllah ana akan balik pada 20/7 nanti.

Thursday, July 05, 2007

Adakah kita sudah futur dalam perjuangan?

Semalam baru dapat berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan usroh. Rasanya dah 2 bulan lebih tak berjumpa. Semenjak ana pergi offshore, banyak kali usroh yang dah terlepas. Sudah lam tak jumpa dengan sahabat-sahabat....Mula timbul perasaan ‘segan’ nak pi usroh. Takut-takut dapat sindiran dari rakan-rakan usroh.

Namun dalam kemelut itu, ana gagahkan juga ke usroh demi menyambung nadi perjuangan dalam diri. Nak bertemu dengan sahabat-sahabat. Sampai sahaja di sana, usroh dah dimulakan dengan bacaan mathurat dan hafazan. Ana rasa cukup bangga bila melihat rakan usroh yang rata-ratanya umur 30 hingga 40 tahun, boleh menghafal 5 surah yang diamanahkan pada mereka. Surah tersebut ialah Surah al-Mulk, Surah As-Shaaf, Surah Al-Muzammil, Surah Al-Mudhatthir.

Sampai giliran ana untuk hafazan...ana terkedu seketika. Dah tak ingat hafazan surah al-Muzammil, walhal analah orang pertama yang berjaya menghafal surah ini. Ada sahabat berkata “Amin, nie nta orang pertama yang berjaya mengahafal surah nie...apa dah jadi syeikh?.....”Ana terasa jugak...memang dah lama tak mengulangkaji hafzan. Ust, mengingatkan kepada semua rakan usroh dengan kata-katanya “Hafazan ini adalah amanah kepada kamu. Maka mesti hafaz sampai semua dalam masa setahun, 2 tahun, 3 tahun ke atau sampai ke akhir hayat kena berusaha”...

MasyaAllah susah betul nak menghafal dan mengingati bacaan al-Quran. Mungkin hati nie dah banyak buat maksiat kepada Allah SWT. Tak dibersihkan...Bila slot usroh masuk ke bab “Wabak di sepanjang jalan..”, ana terus membuka tajuk futur. Takut-takut ciri-ciri keadaan ana termasuk dalam kategori tersebut.

Sahabat-sahabiah semua, kekangan dan masalah kehidupan akan meruntun banyak di antara kita kandas dalam medan perjuangan. Bila lama tak bersama, terasa segan untuk meneruskan perjuangan, takut sindiran dan perlian daripada rakan-rakan seperjuangan.

Ana teringat dengan kata-kata TG Nik Abd Aziz Nik Mat melalui satu SMS rakan ana kepada ana yang berbunyi “ Perjuangan Islam ibarat kereta. Jika tiada halangan kita laju. Jika ada speed trap kita slow. Jika ada traffic light, kita berhenti tapi enjin jangan mati”. Begitu tersentuh hati saya bile membaca SMS nie.....Begitu dalam kata-kata TG.

Ayuh, sama-sama kita muhasabah diri kita, adakah kita termasuk dengan golongan yang futur dalam perjuangan ataupun tetap istiqomah dalam medan ini?.....

Wednesday, July 04, 2007

Mengurus Kewangan Secara Islam

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi peluang kepada diri saya untuk terus menulis di ruangan blog nie. Asalnya, macam dah malas nak menulis diblog nie kerana rasa macam tak memberi manfaat yang maksimum kepada orang lain. Namun, terfikir pada fikiran saya suatu persoalan. Jika kita meninggal dunia, apakah sumbangan kita kepada masyarakat. Jika kita meninggal dunia, apa yang kita tinggalkan kenang-kenangan untuk yang masih hidup? Mungkin kita dapat tinggalkan pakaian, gambar, kereta, rumah dan sebagainya. Tapi suatu yang manfaat ialah ‘catitan seharian’ dan ‘luahan hati’ kita untuk tatapan semua.......terserahlah kepada sahabat-sahabat semua untuk membuat penilaian.

Hari ini...saya terbaca satu risalah ‘PTPTN, Status Shariah & Kos Perkhidmatan yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Sila ke laman web beliau di http://www.zaharuddin.net/index.php. Dalam Kertas kerja yang disampaikan oleh beliau, jelas kondisi PTPTN sekarang yang mengenakan 3% kos perkhidmatan adalah riba. Jika riba, sudah tentu duitnya tak berkat mengikut ugama Islam. Mungkin dulunya kita ( termasuk diri saya sendiri) seorang pelajar yang ingin ke menara gading. Kita bukan daripada golongan kaya raya yang dapat menampung kos menyambung pengajian di IPT yang agak besar. Maka salah satu caranya ialah dengan meminjam daripada PTPTN.

Bila terbaca kertas kerja ust nie, hati saya jadi sedih dan sedikit keliru..Mungkin pada waktu meminjam kali pertama kita tak tahu. Tapi sepanjang pengajian 5 tahun kat kampus, tak berdayakah atau tak berusahakah untuk mengelaknya? Saya jadi terkedu…Asalnya dah dapat peluang untuk biasiswa Kementerian Pengajian Malaysia. Tapi ditolak oleh saya yang berfikiran singkat waktu itu…

Jarang dalam web atau buku-buku yang menulis secara khusus berkenaan dengan ‘Mengurus Kewangan Secara Islam’. Keadaan itulah menyebabkan saya mula berminat untuk meneliti dengan lebih mendalam. Beberapa persoalan yang kita mesti titik beratkan dalam mendapatkan pendapatan kita. Soalan tersebut seperti di bawah :
1. Apakah punca pendapatan kita? Adakah daripada sumber yang halal?
2. Daripada pendapatan kita setiap bulan, adakah kita mengeluarkan zakat pendapatan?
3. Ke mana kita gunakan pendapatan yang diperolehi? Sedekah? Amal Jariah?
4. Adakah kita terlibat dengan riba? Apakah itu riba?

Hakikatnya, persoalan melibatkan kewangan dalam Islam amat-amat dititik beratkan. Ini kerana ia membabitkan hal dosa dan pahala. Jika tersalah langkah kita telah terjebak dalam dosa. Adakah kita tidak tahu masalah ini..ataupun memang sengaja tidak ambik tahu.
Moga-moga selepas ini, ada yang boleh menulis secara kursus berkenaan dengan ‘Mengurus Kewangan Secara Islam’. Akan menjadi panduan kepada pelajar dan seluruh ummah Islam agar pendapatan dan rezeki kita semua adalah dari sumber yang jelas ‘halal’.